Thursday, October 9, 2008

Luahan Rasa

Apa perjuangan hidup kita? Adakah untuk mendapat kesenangan hidup? Adakah untuk mengejar kemewahan sementara hidup ini? Adakah untuk menjadi orang yang Berjaya dalam hidup? Ataupun untuk persediaan kita bagi menempuhi kehidupan yang kekal abadi yang wajib bagi setiap umat Islam percayai.
Itulah perjuangan kita, berjuang untuk hidup beragama yang suci iaitu untuk hidup dalam suasana Islam. Bukan untuk memperjuangkan bangsa dan Negara, kerana jika perjuangan berlandaskan bangsa dan Negara maka tidak ke mana usaha kita itu. Tiada keberkatan. Biarlah warna kulit kita tidak sama, mata kita tidak sama tetapi hala tuju kita sama iaitu ISLAM. Inilah perjuangan yang suci, yang patut kita perjuangkan. Jika semua umat manusia berpegang kepada perjuangan ini nescaya dunia akan aman dan makmur.
Banyak contoh Negara Islam yang aman setelah menjalankan hukum berlandaskan syariat Islam. Kita lihat contoh kerajaan Empayar Melaka dahulu, bagaimana pelabuhan Melaka menjadi terkenal, bukan kerana rempahnya, bukan kerana perdagangannya tetapi Melaka itu sendiri yang aman dan makmur kerna mereka memerintah berdasarkan syariat Islam. Undang-undang yang digunapakai ketika itu ialah Hukum Kanun Jenayah Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, di mana undang-undang ini berteraskan kepada sistem perundangan Islam, tetapi Melaka mula jatuh apabila Melaka diambil alih oleh penjajah British yang mana mereka menggunakan Undang-undang akal yang tidak bertepatan dengan kehendak Penciptanya. Banyak lagi contoh undang-undang zaman dahulu yang telah dihapuskan oleh pihak penjajah disetiap negeri dalam Tanah Melayu.
Bagaimana kita boleh katakan Negara kita merdeka, sedangkan kita berhukum bukan dengan hukum asal yang telah dipraktikkan oleh nenek moyang kita dahulu. Kesemua undang-undang yang ada dalam perlembagaan Malaysia adalah 100% dari penjajah. Adakah ini kemerdekaan? Sepatutnya bila penjajah sudah keluar dari Negara kita maka kita boleh membuat undang-undang mengikut acuan kita tetapi mengapa undang-undang ini masih digunapakai?
Mengikut kata pemimpin kita, Negara kita Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Tetapi persoalan di sini, atas dasar apa yang meletakkan sesebuah Negara kita Islam atau tidak. Adakah dengan kerana kita mempunyai banyak masjid yang besar, indah dan banyak? Adakah dengan majoriti penduduk Negara kita Islam maka kita sebuah Negara Islam? (tetapi kualiti ISLAM sudah hilang). Jadi di mana Negara Islam seperti yang dilaungkan? kerana jika sesebuah Negara itu adalah Negara Islam maka sepatutnya kita akan berada dalam keadaan aman, selamat dan makmur. Pernah berlaku di zaman para sahabat dahulu yang mana pemerintahan mereka menggunakan syariat Islam, tiada seorang pun fakir miskin untuk diberi zakat. Inilah kehebatan dan bukti sebuah Negara Islam. Jadi adakah Negara kita Negara Islam? Bagaimanaboleh sebuah Negara Islam mempunyai kilang arak yang terbesar di Asia Tenggara? Bagaimana pula dengan Pusat Perjudian di atas bukit di negeri Pahang, Genting Highlands. Sumber pendapatan kerajaan dari cukai-cukai sumber yang haram, diagihkan kepada rakyat untuk pembangunan maka tidak berkat hidup rakyat. Maka tidak hairanlah banyak bala yang diturunkan oleh Allah kepada penduduk di Malaysia ini. Dengan jenayah dalam masyarakat, jenayah dalam keluarga, jenayah dalam Negara dan banyak lagi jenayah-jenayah yang muncul. Adakah dengan kita menutup kilang arak maka Negara akan hilang pendapatan? Di mana taqwa dan tawakkal kepada Allah? Rezeki itu bukan ciptaan manusia tapi dari Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pusat-pusat hiburan ‘halal’ dan arak-arak ‘halal’ yang sememangnya haram banyak terdapat di dalam Negara kita. Kenapa pusat-pusat hiburan ini tidak ditutup? Alasan mereka, pusat hiburan untuk orang bukan Islam kenapa orang Islam yang datang? Tetapi sikap ini tidak diajar dalam Islam, pemerintahan Islam bukan untuk orang Islam sahaja tetapi untuk keseluruhan kerana Islam itu untuk sekelian alam.
ISLAM HADHARI? Kenapa dilaungkan slogan ini sedangkan kefahaman Islam itu sendiri belum sepenuhnya sempurna. Bagaimana sebuah Negara ingin membangun dan maju sedangkan moral rakyat dan pemimpin masih lagi ditahap yang rendah. Jika betul pemimpin inginkan ISLAM HADHARI buatlah contoh tauladan yang baik. Islamkah jika isteri orang no. 1 yang melaungkan ISLAM HADHARI tidak pakai tudung? Islamkah jika isteri orang no. 2 Malaysia bersentuh pipi dengan orang yang bukan muhrim?
Kesimpulan di sini, penting dan mesti untuk kita memperjuangkan syariat Islam yang ASLI supaya kehidupan menjadi lebih baik.

VIDEO - Bacaan Al-Quran - Dengar dan hayatinya maksudnya


(Pembetulan)Surah Al-Haqqah Ayat46 - Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta merta).